Friday, October 30, 2009

Buka perniagaan tak semestinya dengan modal wang.

Aku bertugas sebagai budak pejabat. Masa lapang aku habiskan bersama Said di setor. Tugas Said adalah sebagai pengurus pengedaran majalah dan buku yang diterbitkan oleh syarikat kami. Aku bantu dia packing dan adakalanya mengikut dia ke beberapa tempat membuat penghantaran. Sambil hantar sambil buat kutipan. Payment lama mesti dikutip dan sekaligus mengumpul bahan bacaan yang tidak laku dijual. Banyak tempat dan banyak kedai buku yang aku lawati. Kebanyakkannya kedai dimiliki oleh golongan India muslim. Mereka ada yang jadi pengedar tunggal dan merupakan gergasi di bidang kedai buku. Malah ada yang menguasai daerah-daerah tertentu.

Sambil berehat Said meluahkan cadangan kepada aku. "Kenapa kau tak buka kedai buku?". Dia mengaju soalan kepadaku. Soalan yang aku anggap pelik. Aku seorang budak pejabat, disuruh buka kedai buku. Melihatkan bentuk kedai buku yang aku lawati memang 'impossible', lagipun apa rasionalnya aku membuka kedai buku. Jauh panggang dari api.

Said mengulangi soalan yang sama. Kenapa aku tidak buka kedai buku. Dia boleh membantu jika aku berminat. Soal modal tolak ketepi. Aku perlu jawab setuju saja kerana dia boleh uruskan semuanya. Cuma tugas aku mencari premis dan lokasi kedai sahaja. Aku jadi teruja. Perkataan Said nampak serius. Dia memberi aku keyakinan dan segala perkataan dan rancangannya nampak logik.

Setelah berfikir panjang aku ambil keputusan menyahut cabaran Said. Lantas aku mencari dan mendapatkan satu lokasi di Jalan Klang Lama. Di sisi sebuah warung nasi campur. Mak Cik yang memiliki warung tersebut sudi menyewakan ruang untuk aku membuka kedai majalah dan surat khabar bersais kecil.

"Ikut aku pergi collection." Ajak Said setelah aku bersedia dengan infrastruktur sebuah kedai kecil. Di mana saja kami singgah, Said akan meminta tuan kedai yang melanggani majalah keluaran syarikat kami menyiapkan buku-buku dan majalah-majalah terkini sekali dengan akhbar harian untuk dihantar ke lokasi yang kami sediakan. Taukeh kedai tidak banyak soal terus menyiapkan tempahan yang dibuat Said. Tidak lama kemudian aku dapati satu longgokan buku dan majalah di isi di dalam beberapa kotak untuk diserahkan kepada Said. Setelah urusan surat menyurat selesai, barangan tersebut dimuatkan kedalam van .

Bayangkan setelah berurusan dengan lima buah kedai, barangan yang berjaya dikumpul beretimbun-timbun. Setelah disusun terhasillah sebuah kedai buku kecil yang comel dan bersedia untuk menjalankan operasi. Pagi hari pertama perniagaan sebuah motor menghampiri lokasi kedai dengan membawa berbagai-bagai jenis akhbar harian. Bayangkan tanpa satu sen wang dikeluarkan, Said berjaya mengumpul barangan yang boleh memuatkan sebuah kedai kecil.
Rupanya sistem kedai buku, ambil dulu kemudian bayar. Boleh juga dibuat perjanjian bayaran 'bill to bill".

Maka jadilah aku seorang peniaga yang menjalankan operasi sebuah kedai buku tanpa mengeluarkan modal.